MAC 2022

Sarawak, Indonesia Meterai Perjanjian Utama Bangunkan Projek MIHEP


JAKARTA: Kerajaan Sarawak menyatakan sokongan terhadap pembangunan Projek Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP) melalui penyertaan syarikat milik penuhnya, Sarawak Energy.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi Sarawak semasa mengadakan perjumpaan dengan Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan.

Mesyuarat itu untuk mengesahkan sokongan Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan projek MIHEP melalui penyertaan Sarawak Energy dan syarikat usahasamanya, Kayan Hydropower Nusantara (KHN).

Pada kunjungan itu juga, Awang Tengah merakamkan penghargaan Sarawak terhadap Kerajaan Indonesia atas sokongan dan bantuan berterusan yang diberikan kepada Sarawak Energy dan KHN selama beberapa tahun penyediaan MIHEP.

PT KHN ditubuhkan untuk menyokong agenda pembangunan Kerajaan Indonesia dalam usaha membekalkan tenaga lestari berskala besar pertamanya daripada MIHEP untuk menyokong Taman Tenaga Hijau Tanah Kuning.

MIHEP direka untuk menjana kapasiti 1,375 megawatt (MW) dari sungai Mentarang di Kabupaten Malinau, provinsi Kalimantan Utara.

Kunjungan hormat itu diikuti dengan majlis menandatangani Perjanjian Utama (HoA) antara Sarawak Energy, syarikat usahasamanya Kayan Patria Pratama (KPP) dan Adaro.

HOA akan menyaksikan Sarawak Energy (di bawah Sarawak Energy Services) dan KPP (di bawah Kayan Investama Internasional) sebagai pemegang saham KHN membangunkan perkongsian dengan Adaro untuk mengambil bahagian dalam pembangunan MIHEP.

Ia untuk membangunkan MIHEP sebagai bekalan tenaga boleh diperbaharui kepada KIPI Tanah Kuning bagi menyokong agenda Pembangunan Industri Berasaskan Tenaga Diperbaharui (REBID) Kerajaan Indonesia.

Turut sama dalam delegasi Sarawak ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, pegawai kerajaan lain serta wakil Sarawak Energy.

Sumber dari : Jiwa Bakti